Pendidikan Alam Sekitar
Pada hari
ini didapati kemerosotan mutu alam sekitar semakin meruncing sehingga telah
menimbulkan pelbagai isu yang berterusan seperti banjir kilat, tanah runtuh,
pemusnahan hutan, pencemaran, kesan rumah hijau, penipisan lapisan ozon,
hakisan dan juga kepupusan spesies.
Permasalahan ini merupakan antara isu besar yang tidak pernah surut, sebaliknya saban hari kita menyaksikan berlakunya peningkatan terhadap isu-isu berkenaan
Permasalahan ini merupakan antara isu besar yang tidak pernah surut, sebaliknya saban hari kita menyaksikan berlakunya peningkatan terhadap isu-isu berkenaan
Jika
diamati, bukan tiada usaha yang dilaksanakan bagi membendung permasalahan ini.
Malah, saban tahun begitu banyak program dan aktiviti kesedaran alam sekitar
dilaksanakan. Namun demikian, ia dilihat seolah-olah kurang memberi impak
kepada rata-rata kita. Buktinya, kita masih lagi melihat perbuatan segelintir
daripada kita yang membuang sampah merata-rata tanpa sedikit pun rasa bersalah.
Ini jelas memberi cerminan kepada kita bahawa kesedaran masyarakat terhadap
kepentingan menjaga alam sekitar masih lagi berada pada tahap yang rendah.
Penerapan
pendidikan alam sekitar dalam pengajaran merupakan wadah penting yang tidak seharusnya
hanya dibebankan di bahu pendidik semata-mata. Sebaliknya perlaksanaannya perlu
mendapat sokongan padu daripada semua pihak agar ia dapat dijayakan bagi
meningkatkan kesedaran berhubung kualiti alam sekitar, di samping membantu
generasi masa hadapan untuk mengawal kehidupan mereka dengan lebih baik dalam
memastikan usaha memakmurkan alam dapat dilaksanakan dengan sewajarnya.
Penglibatan semua pihak adalah penting dalam
memastikan matlamat perlaksanaan pendidikan alam sekitar dapat direalisasikan
dengan jayanya bagi membentuk sebuah kerangka
masyarakat yang bukan sahaja lebih peka dan prihatin terhadap isu-isu
alam sekitar sejagat, tetapi juga dapat melahirkan masyarakat yang mempunyai
pengetahuan yang luas berkaitan alam sekitar dan berkemahiran tinggi untuk
bertindak secara individu atau bersama dalam menyelesaikan isu-isu semasa
berkaitan alam sekitar. Malahan, dengan pengetahuan dan kemahiran yang ada ia
secara tidak langsung turut juga dapat meningkatkan komitmen masyarakat
terhadap permasalahan alam sekitar yang timbul.
Dalam mengintegrasikan pendidikan alam sekitar, ia tidak hanya terhad dalam proses pengajaran dan pembelajaran sahaja. Sebaliknya ia perlu diperluaskan lagi sebagai suatu bidang pendidikan yang bersifat merentasi kurikulum dan kokurikulum. Ini adalah bagi memastikan pendidikan alam sekitar lebih berkesan kepada para pelajar dan dapat disepadukan dengan mata pelajaran lain (seperti Sains, Matematik, Pendidikan Jasmani, Pendidikan Islam, Pendidikan Seni, Kemahiran Hidup, Pendidikan Moral dan sebagainya) di dalam kelas dan juga aktiviti-aktiviti luar kelas yang lain.
Dengan usaha penyepaduan pendidikan alam sekitar dan aktiviti kokurikulum, ia dapat menjadi tanda aras sejauh mana pendidikan alam sekitar yang diterapkan di dalam bilik darjah difahami dan diaplikasikan oleh para pelajar. Malah melalui aktiviti kokurikulum juga dapat dijadikan garis panduan untuk para pendidik menilai keberkesanan penyepaduan pendidikan alam sekitar dengan subjek-subjek lain yang diajar di dalam kelas berdasarkan pengamatan terhadap para pelajar dalam menggunakan pengetahuan dan kemahiran tentang alam sekitar semasa aktiviti luar kelas dijalankan.
Proses
penyepaduan unsur pendidikan alam sekitar dalam kedua-dua kurikulum dan
kokurikulum perlu dijadikan sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran
yang penting. Ini kerana, proses pembelajaran secara teori yang disusuli dengan
pembelajaran secara praktikal (iaitu memberi peluang dan pendedahan kepada para
pelajar untuk merasai sendiri pengalaman berinteraksi dengan alam sekitar serta
melihat segala permasalahan alam sekitar yang berlaku) adalah lebih berkesan
dan bermakna dalam memastikan kesedaran yang lahir adalah betul-betul terkesan
kepada jiwa mereka.
Kejayaan
pengintegrasian unsur pendidikan alam sekitar dalam kurikulum dan kokurikulum
sekolah adalah bergantung kepada komitmen yang diberikan oleh golongan pendidik
sebagai pelaksana dan juga semua pihak yang terlibat baik secara langsung
mahupun tidak langsung dalam usaha ini. Malah, matlamat pendidikan alam sekitar
untuk melahirkan individu yang berkeperibadian tinggi serta bertanggungjawab
terhadap alam sekitar pastinya dapat dicapai dengan jayanya jika semua pihak
khususnya pihak-pihak berwajib mengambil tanggungjawab dan peranan
masing-masing untuk memberi pendidikan alam sekitar dengan lebih serius tanpa
rasa dibebani dengan tanggungjawab berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan